Menyedari akan hakikat dan bahayanya dadah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan matlamat Sekolah Bebas Dadah.
Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah ialah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, staf sokongan dan ibu bapa akan bahaya dadah agar mereka menjauhinya dan berupaya menentang ancaman dadah dengan meletakkan sasaran “Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012”.. Adalah menjadi hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan murid sifar dadah dan sekolah bebas dadah.
Sehubungan dengan itu pelbagai strategi dan pendekatan pendidikan pencegahan dadah dirangka untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah.Secara umumnya strategi pendidikan pencegahan dadah di sekolah adalah berteraskan empat pendekatan iaitu Kurikulum, Kokurikulum, Pembangunan Sahsiah dan Pengurusan Kepimpinan. Gerakan membanteras dadah di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan semua warga sekolah, ahli dan pemimpin masyarakat setempat serta semua agensi sekitar. Konsep kesepaduan bermaksud tindakan secara menyeluruh dan bersepadu dalam semua bidang.
Melalui strategi kurikulum murid-murid diberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan bahaya dan kesan dadah semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Mesej bahaya dan kesan dadah ini boleh disampaikan ketika perhimpunan mingguan, menerusi program 5minit anti dadah, edaran bahan-bahan bantu mengajar seperti poster, phamplet dan sebagainya serta melalui latihan kerja yang terancang.
Guru-guru juga boleh membincangkan kesan dan bahaya dadah menerusi isi pelajaran dan topik-topik yang diajar. Melalui strategi kokurikulum, murid-murid perlu dilatih melibatkan diri secara aktif dalam gerak kerja persatuan dan kelab, permainan dan pasukan pakaian seragam. Latihan kemahiran dan pengetahuan perlu disusun secara sistematik bertujuan membangunkan minda, meningkatkan kesedaran agar dapat menghasilkan tindakan dan seterusnya mengekalkan tindakan untuk hidup dalam suasana yang sihat dan ceria, aktif dan harmoni.
No comments:
Post a Comment